Pengikut

Selasa, 6 Disember 2011

Refleksi Mikropengajaran

Refleksi  Pembelajaran Mikropengajaran

Menurut ( Micheel J. Wallace ) pengajaran mikro adalah penemuan pengajaran yang dimudahkan. Pengertian itu membawa maksud ianya adalah satu situasi pengajaran yang telah dikurangkan skopnya, tugas guru dipermudahkan, mata pelajaran dipendekkan dan bilangan murid dikecilkan.  Membuat rakaman sesi mikropengajaran menjadi satu pengalaman yang mengujakan bagi saya. Setelah hampir dua dekad bergelar guru, pengalaman ini ironinya mengimbau semula zaman semasa menjadi pelajar  di maktab perguruan. Secara jujurnya saya agak kekok apabila berhadapan dengan kamera sambil diperhatikan beberapa orang rakan. Sementelahan lagi, mereka merupakan guru-guru baru yang sememangnya sudah sinonim dengan aksi mikropengajaran. Walaupun begitu, demi tugasan yang perlu disempurnakan saya gagahkan juga untuk menampilkan pengajaran mikro mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 2. Setelah selesai, saya telah meminta pendapat dari rakan-rakan tentang kelemahan, kekuatan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu pengajaran saya.

  1.  Kelemahan
Hasil pemerhatian kami mendapati ada beberapa kelemahan yang agak ketara semasa sesi mikropengajaran yang telah dijalankan. Antaranya ialah bahan bantu mengajar yang digunakan agak kurang menarik. Tulisan guru di atas kad manila agak kecil dan tidak kemas sehingga menyukarkan murid-murid untuk membaca. Ini menyebabkan murid-murid kurang teruja mengikuti pengajaran guru. Ini menyebabkan ada dikalangan murid tidak menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Kawalan kelas pula kurang diberi perhatian kerana guru kadangkala memfokuskan kepada golongan murid tertentu sahaja. Ini dapat diperhatikan apabila murid duduk dengan kedudukan yang betul dan bermain sesama sendiri.








b. Kekuatan
Berdasarkan maklum balas rakan-rakan guru, ada juga kekuatan pengajaran mikro yang telah dilaksanakan. Antaranya ialah kekuatan lontaran suara menjadikan setiap arahan yang dikeluarkan jelas dan mengesankan. Sepanjang pengajaran, guru berjaya menarik perhatian murid-murid dengan nada suara yang sesuai dan tidak mendatar atau membosankan. Selain itu, guru membaca ayat dengan bahasa Melayu baku yang menjadi tunjang kekuatan seseorang guru mengajar murid-murid di kawasan pedalaman. Guru terus menegur murid apabila sebutan mereka kurang tepat. Ini untuk mengelakkan murid daripada terus melakukan kesilapan serupa dimasa akan datang. Guru juga acap kali memberikan penghargaan tatkala murid selesai membaca dengan memberikan tepukan dan kata-kata semangat. Ini menjadikan murid teruja untuk mencuba dan seterusnya menerbitkan pola pengajaran yang menarik. Akhir sekali, perwatakan guru yang bersahaja dan agak lucu menjadikan pengajarannya berkesan. Murid-murid terhibur dengan gelagat guru dan terus mengikuti pengajaran tanpa tekanan. Ini menjadikan murid lebih yakin untuk berinteraksi dalam pengajaran dan pembelajaran.


c. Penambahbaikan 
Berdasarkan kelemahan yang telah dikenalpasti , saya akan meningkatkan usaha untuk menambahbaik mutu pengajaran pada masa akan dating. Antaranya ialah, bahan bantu mengajar yang lebih menarik dan sesuai dengan tahap murid yang berada di tahun 2. Tahap 1 di sekolah rendah memerlukan guru lebih kreatif dalam membina bahan bantu mengajar . Dengan bahan yang lebih besar dan kemas hurufnya serta berwarna-warni akan menjadikan murid lebih bermotivasi untuk menimba ilmu. Selain itu, saya akan memberikan perhatian yang sama rata kepada semua murid supaya mereka lebih berdisiplin semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Dengan kata lain, kawalan kelas amat perlu diberi perhatian serius semasa mengajar kerana ia boleh mengganggu proses pembelajaran dan menjadikan suasana kelas tidak terkawal.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan